JOHOR BAHRU, 31 Januari - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menumpukan kepada pembangunan infrastruktur terutama menaik taraf jalan raya bagi keselesaan penduduk.
Pembangunan pesat taman-taman perumahan baharu di kawasan itu menyebabkan banyak laluan utama mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak.
Datuk Bandar MBPG, Datuk Asman Shah Abdul Rahman berkata pihaknya akan membuat kajian Penilaian Kesan Lalu Lintas dengan tumpuan kepada lokasi-lokasi utama menghubungkan taman perumahan dan tempat kerja.
"Kita bersiap sedia untuk membangunkan infra yang berkaitan dengan jalan tersebut. Kadang pemaju itu pembangunan di tempat lain tapi kita tahu jumlah trafik yang melalui jalan tersebut juga akan meningkat, sebab itu kita ambil masa hampir setahun untuk melaksanakan kajian hendak pastikan bahawa pelaksanaan pembangunan sealiran dengan pembangunan di kawasan sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Jalan Penghubung Nusa Damai-Scientex, Pasir Gudang di sini.
Jalan sepanjang 1.3 kilometer dengan kos RM6.7 juta itu mula dibuka kepada pengguna hari ini.