fb fb fb fb fb

Lebih 200 kesalahan jalan raya dikesan dalam Ops Tahun Baharu Cina di Melaka

MELAKA, 31 Januari - Sebanyak 224 kesalahan jalan raya dikesan dalam Ops Tahun Baharu Cina Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka semalam.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata daripada jumlah itu, sebanyak 176 notis dikeluarkan dan 126 saman dikenakan dengan jumlah keseluruhan RM37,800.

Menurut beliau, Ops Tahun Baharu Cina telah mula dilaksanakan sejak 25 Januari lalu, dan sehingga malam tadi sebanyak 475 notis pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan.

Katanya, sebanyak 750 kenderaan yang diperiksa dalam operasi itu dan kesalahan paling tinggi melibatkan cukai jalan tamat tempoh, sebanyak 114.

Manakala, kesalahan tiada lesen memandu 47, cermin gelap 45, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, 18 dan dua kesalahan teknikal pengubahsuaian enjin.

"Antara sasaran utama bagi Ops Tahun Baharu Cina pada tahun ini ialah ; pertama, memandu melebihi had laju kedua, tidak mematuhi isyarat lalu lintas iaitu lampu merah memotong di garis berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang kaledar ataupun topi keledar.

"Selain itu, membawa lebih muatan dan membawa muatan dalam keadaan bahaya. Kesemua kesalahan utama ini akan dikenakan kompaun sebanyak RM300", katanya ketika ditemui selepas Ops Tahun Baharu Cina di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka.

Mengulas lanjut beliau, berpuas hati apabila kesemua kenderaan awam berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan.

Seramai 40 pegawai dan anggota JPJ, selain dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) terlibat dalam operasi malam tadi.

Media Baharu