
SEREMBAN, 9 Jun – Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tumpahan bahan kimia dipercayai racun serangga di Jalan Utama, Nilai petang tadi.
- Sepasukan anggota bomba digerakkan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.35 petang.
- Pemeriksaan awal mengesan tumpahan bahan kimia dipercayai racun serangga.
- Bacaan keasidan dan alat pengesan gas merekodkan paras selamat semasa pemeriksaan.
- Unit HAZMAT mengumpul bahan kimia dan anggota bomba membersihkan jalan sehingga kawasan disahkan selamat.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, tumpahan bahan kimia itu berjaya dibersihkan sepenuhnya dan kawasan terlibat disahkan selamat.
Komander Operasi, PBK I Mohd Effendi Rahmat berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.35 petang.
“Pemeriksaan awal mendapati berlaku tumpahan bahan kimia yang dipercayai racun serangga di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan anggota bomba mendapati bacaan keasidan dan alat pengesan gas merekodkan dalam (bacaan) pada paras selamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Unit HAZMAT kemudiannya menjalankan kerja pengumpulan bahan kimia bagi mengelakkan sebarang risiko.
Manakala, anggota bomba melakukan pembersihan permukaan jalan menggunakan aliran salur bantu mula.