fb fb fb fb fb

Tujuh tentera ATB 2 selamat dalam kejadian bot ronda karam

SANDAKAN, 26 Januari- Tujuh anggota tentera daripada Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) selamat dalam kejadian bot karam berhampiran Pulau Nunuyan, pagi semalam.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika bot ronda anggota berkenaan dipukul ombak besar di perairan pulau itu.


(Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah/ BERNAMA)

"Pada 25 Jan (semalam), lebih kurang 10 pagi, bot ronda Viper 7 Markas ATB 2 dengan kekuatan tujuh anggota tentera bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke jeti Markas ATB 2 di Batu Sapi, Sandakan bagi tujuan pengisian minyak logistik dan kebajikan anggota.

"Bagaimanapun, pada kira-kira 11 pagi, ketika bot ronda itu tiba berhampiran laut Pulau Nunuyan, telah dipukul ombak besar dan menyebabkan ia (bot ronda) karam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris berkata kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 2.50 petang semalam oleh sebuah bot ronda Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 dengan sebuah bot PSC 66, dan dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan dan proses dokumentasi.- BERNAMA

Media Baharu