fb fb fb fb fb

Hari Wilayah Persekutuan 2023, bakal disambut sederhana tapi meriah

PUTRAJAYA, 26 Januari- Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 pada 1 Februari ini tetap meriah walaupun diadakan dalam konsep sederhana dan berhemah.

Ia bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menjimatkan perbelanjaan negara dan mengelakkan pembaziran.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata walaupun perbelanjaan dikurangkan hampir 10 kali ganda,namun pelbagai program akan dilaksanakan bersama pihak swasta dan komuniti di Putrajaya.

"Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini kita adakan mengikut saranan YAB Perdana Menteri. Kita bukan hapuskan terus, cuma kita bersederhana dan berhemah.

Meski perbelajaan dikurangkan 10 kali ganda, walaupun begitu kita tetap melaksanakan program dengan cara yang lain iaitu bersama wakil swasta, penduduk setempat khususnya kita utamakan kepada golongan rentan, B40. Fokus kita lain sikit tetapi kemeriahan tetap sama," kata Rosida kepada pemberita RTM selepas Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan & Program Bantuan Kasih Putrajaya 2023.


(Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar)

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 10,000 bendera Wilayah Persekutuan telah diedarkan kepada 60 persatuan penduduk, 54 Kawasan Rukun Tetanggga (KRT) dan 27 buah sekolah di Putrajaya sebagai simbolik Kempen Kibar Bendera Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023.

Ia bertujuan memupuk semangat patriotisme serta semangat kekitaan dalam kalangan warga Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai kesiapsiagan Putrajaya dalam menghadapi banjir, pihaknya memaklumkan bahawa Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menubuhkan kumpulan petugas yang akan memantau kawasan mewakili selatan, timur, barat dan utara Putrajaya.

"Sistem perparitan kita dalam keadaan baik cuma ada daun yang menutup 'ringlet' itu kita akan bersihkan. Bila ada daun-daun itu ia akan menyebabkan air tidak dapat mengalir ke bawah dan tugasan itu akan dilakukan oleh kumpulan petugas kita lah," tambahnya.

Media Baharu