KEMAMAN, 26 Januari- Sebuah restoran makan segera terkenal di Bandar Chukai, Kemaman dikompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mematuhi aspek kebersihan penyediaan makanan.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa unit keselamatan dan kualiti makanan pejabat kesihatan daerah selepas aduan ketidakpuasan hati seorang pelanggan tular di laman sosial sejak semalam.
Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila mendapati roti yang dibelinya daripada restoran tersebut didapati berkulat manakala ayam goreng tidak dimasak dengan sempurna serta berbau.
Operasi dijalankan pada pukul 4 petang melibatkan seramai enam pegawai penguatkuasa kesihatan dan pemeriksaan tertumpu di kawasan penyediaan makanan serta tempat penyimpanan bahan masakan.
Antara kesalahan yang dilakukan ialah tempat simpanan sos pelanggan yang berada dalam keadaan tidak memuaskan, kebersihan dapur tidak menepati standard dan tandas yang tidak bersih.
(Premis tersebut gagal menyelenggarakan sistem perangkap minyak serta saliran
longkang yang kotor)
Selain itu, pihak jabatan kesihatan turut mendapati premis tersebut juga gagal menyelenggarakan sistem perangkap minyak serta saliran longkang yang kotor.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta 34 (1) (B) peraturan-peraturan kebersihan makanan 2009.
Notis di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan bagi tindakan pembetulan dalam tempoh 14 hari.