fb fb fb fb fb

Tujuh bot nelayan Vietnam bernilai RM10.5 juta dilucut hak

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 2 Julai-Mahkamah Seksyen Negeri Terengganu telah mengarahkan tujuh buah bot nelayan Vietnam dengan nilai  keseluruhan RM10.5 juta dilucut hak semalam.

Tujuh buah bot berkenaan telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam siri Operasi Naga Barat di sekitar perairan negeri tersebut.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar  Abdul Majid berkata enam buah bot ditahan Mei lalu manakala sebuah lagi telah ditahan pada bulan Jun lalu. 

Dalam kes tangkapan tersebut, 55 orang kru beserta tekong  warganegara Vietnam berumur 20 hingga 60 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Pihak mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman denda RM300,000 kepada setiap tekong.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh  dikenakan hukuman selama lima bulan penjara. 

Manakala setiap kru juga dikenakan denda RM120,000 dan jika gagal  membayar denda boleh dikenakan hukuman tiga bulan penjara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD