(Ahmad Zahid Hamidi)
PUTRAJAYA, 13 Julai- Tidak semua perkara boleh dijadikan kempen yang akhirnya merosakkan diri sendiri, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tegas beliau, politik bukan sesuatu perkara yang boleh dijadikan bahan lawak.
"Politik ini bukan bahan lawak, bukan bahan untuk bergurau. Fakta adalah fakta. Bagaimana PN (Perikatan Nasional) dititah menghadap (Yang di-Pertuan Agong), itu fakta. Begitu juga PH (Pakatan Harapan) dititah menghadap.
"Selepas itu saya mewakili BN (Barisan Nasonal) bersama dua rakan lain serta GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak)," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini.
Ahmad Zahid menyelar tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya 'memandai-mandai' dan menggunakan titah Agong untuk tubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga menyatakan enggan melayan kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.
(Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada sidang media di Putrajaya)