(Foto BERNAMA)
SHAH ALAM 13 Julai- Sebanyak 200 Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma kepada golongan B40 akan ditambah kerajaan selepas kuota 500 lesen PSV di bawah Program MyPSV telah penuh.
Jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tambahan 200 lesen tersebut akan diberikan kepada penduduk Pantai Timur terutamanya Kelantan dan Terengganu.
Tambahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terlibat dalam urusan pemberian lesen tersebut.
"Kita hendak selesaikan beberapa masalah. Pertamanya membantu rakyat, kedua membantu industri. Industri tidak cukup pemandu. Itu satu masalah besar, jadi kita hendak cuba dengan pendekatan ini dengan menyelesaikan beberapa masalah sekali gus," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Berkapasiti Tinggi (LBDD) di sini.
Syarikat-syarikat perkhidmatan bas juga diminta untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam mendapatkan lesen PSV selain meningkatkan jumlah pemandu bas.
Sebelum ini, kerajaan menawarkan 4,000 lesen PSV secara percuma kepada golongan B40 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan menerusi Program MyPSV.
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,500 adalah untuk pemohon lesen PSV e-hailing dan teksi manakala 500 lagi ditawarkan untuk lesen PSV bas di seluruh negara melibatkan peruntukan RM2 juta.
LBDD dengan konfigurasi kerusi dua tambah satu itu boleh membawa 51 penumpang berbanding kapasiti 39 penumpang untuk Bas Berkapasiti Tinggi (LBSD).
Malah, LBDD yang dilancarkan hari ini turut dilengkapi dengan kemudahan tandas dalam bas.
(LBDD dengan konfigurasi kerusi dua tambah satu ini boleh membawa 51 penumpang
berbanding kapasiti 39 penumpang untuk Bas Berkapasiti Tinggi (LBSD))