(Mohamad Hasan)
PETALING JAYA, 13 Julai- Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25) bakal membawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada hala tuju sebagai sebuah kumpulan wang simpanan yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi para pencarumnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam dunia yang mencabar hari ini perlu ada nilai tambah yang sesuai bagi mengembangkan dana LTAT, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Kita berada dalam keadaan dunia yang berubah begitu drastik, begitu cepat. Makanya dalam dunia korporat, dunia perniagaan kita tidak boleh statik.
"(Perlu) sama-sama pastikan bahawa LTAT dan anak-anak syarikat Boustead yang lain-lain terus teguh dan mantap operasinya dan dalam masa sama komitmen kita untuk memberikan pulangan yang mantap dan baik kepada anggota tentera yang mencarum wang persaraan mereka," katanya pada Majlis Pelancaran MAMPAN25 LTAT di sini.
MAMPAN25 mempunyai empat teras meliputi Pertumbuhan, Ketahanan, Impak dan Kepercayaan dengan berlatar belakang komitmen untuk mengurus wang persaraan anggota tentera dengan lebih baik.
Melalui pelan itu juga, LTAT meningkatkan Aset di bawah Pengurusan (AUM) kepada RM15 billion daripada jumlah sedia ada sebanyak RM9.3 billion dalam usaha meningkatkan prestasi pelaburannya.
(Mohamad Hasan)