fb fb fb fb fb

Kes pecah rumah: 'Geng Eddy' dianggotai bekas pemain bola, tumpas

(Mohammad Shofee Tayib (kanan) dalam sidang media di IPD Pontian, Johor)

PONTIAN, 13 Julai- Polis berjaya menumpaskan aktiviti pecah rumah secara berkumpulan dianggotai bekas pemain bola sepak yang aktif di sekitar daerah di Johor termasuk Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar sejak Mei lalu.

Kumpulan dikenali sebagai 'Geng Eddy' itu terdiri daripada lima suspek warga tempatan berusia 24 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kumpulan itu menjalankan aktiviti pada waktu siang dengan menyasarkan kawasan perumahan yang penghuninya keluar bekerja.

"Mereka pecah masuk melalui 'sliding door' (pintu gelangsar). Kebanyakan (sasaran) rumah teres," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian di sni.

Dalam tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai, beg berjenama dan telefon bimbit.

Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta terlibat dengan dadah jenis methaphetamine.

Kesemua suspek ditahan dalam tiga tangkapan berasingan di Sanglang, Pontian, Forest City, Iskandar Puteri dan Johor Bahru pada 3 Julai lalu.

Mereka direman sehingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

(Anggota 'Geng Eddy' yang dicekup polis)

Media Baharu