KUALA LUMPUR, 24 Jun- Sebarang tuduhan atau salah faham melibatkan institusi zakat perlu diselesaikan dengan bijak, agar tidak mencetuskan fitnah dan menghakis kepercayaan pembayar zakat.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau turut meminta individu yang didakwa dilayan secara tidak wajar di kaunter tampil untuk penyelesaian secara harmoni tanpa mencemarkan imej institusi zakat.
"Jadi saya ingin tekankan di sini. Saya tak boleh nak kata salah siapa, cuma saya anjurkan kepada pengadu untuk mengambil peluang yang ketiga.
"Peluang itu untuk bertemu Pengerusi MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan kita bincang apa sebenarnya masalah yang timbul," kata Datuk Dr Mohd Na’im.
Menurut beliau, MAIWP telah memaklumkan kepada orang ramai bahawa borang permohonan bantuan boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat.
Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 Dan Anugerah Perkhidmatan Setia 25 Tahun di Pusat Dagangan Dunia (WTC), dekat sini.
Seramai 94 pegawai MAIWP dan 10 pegawai dari anak syarikat menerima APC 2024.
234 warga kerja lain menerima Sijil Penghargaan Perkhidmatan dan 11 penerima diraikan atas khidmat setia selama 25 tahun dalam perkhidmatan bersama MAIWP.