fb fb fb fb fb

Sistem Alamat Nasional (NAS), urus alamat secara berpusat

Ketua Bahagian Inovasi Digital dan Geospatial MCMC, Ahmad Aswadi Yusof / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia bakal mempunyai satu sistem tunggal alamat rasmi melalui pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang diiktiraf kerajaan sebagai sumber rujukan utama bagi mengurus lebih 12 juta alamat di seluruh negara.

Ketua Bahagian Inovasi Digital dan Geospatial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Ahmad Aswadi Yusof berkata, pelaksanaan NAS akan dipergiat bermula tahun depan selepas kajian dan penubuhan pasukan petugas teknikal bersama agensi-agensi utama dijalankan pada tahun ini.

Jelasnya, antara tumpuan utama menjelang tahun 2027 ialah menyusun dan mengesahkan data yang diterima serta menyediakan perkhidmatan awam melalui aplikasi NAS.

"Pada masa ini, kita berdepan dengan isu ketiadaan satu sistem alamat yang berautoriti. Tiada pematuhan kepada standard yang seragam walaupun terdapat beberapa sistem alamat yang telah dibangunkan, kebanyakannya dibina secara persendirian dan berasingan (silo) dan tidak diintegrasikan dengan sistem lain."

Beliau berkongsi perkara itu menerusi pembentangan bertajuk "Pelaksanaan NAS di Malaysia: Strategi dan Pelan Tindakan ke Arah Kejayaan" sempena Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, cabaran utama ketika ini ialah pengurusan alamat yang tidak tersusun dan tidak seragam, terutamanya di kawasan luar bandar, kampung tradisional serta kawasan bandar yang padat.

Persidangan selama dua hari itu menampilkan 15 sesi pembentangan melibatkan penceramah tempatan dan antarabangsa.

Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, esok.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE