fb fb fb fb fb

PPWS beri ruang kepada usahawan kembangkan perniagaan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada gimik penutup Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) / BERNAMA

KOTA KINABALU, 24 Jun- Program Pemerkasaan Usahawan Wanita Sabah (PPWS) menjadi medan strategik membina jaringan niaga, perkongsian ilmu dan memperkukuh kefahaman ekosistem keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ia turut memberi ruang kepada bakal dan usahawan baharu mendapatkan latihan, bimbingan serta kemudahan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu juga merupakan usaha signifikan dalam memperkukuh potensi dan bakat wanita dalam bidang keusahawanan.

Pada masa sama, mencerminkan sokongan berterusan MARA terhadap pembangunan kapasiti dan daya saing usahawan wanita, terutama di Sabah.

"Apa yang kita mahu usahakan di dalam pemerkasaan wanita, terutama di Sabah, mari kita sama-sama bangkit.

"Ketepikan perbezaan dengan mana-mana kumpulan kerana rakyat amat rindukan kemajuan, pembangunan dan mengetepikan retorik, janji-janji palsu," katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap merasmikan Program MARA, Program Pemerkasaan Wanita Sabah - Wanita Memperkasa Keusahawanan 2025, dekat sini.

Program tersebut menghimpunkan lebih 1,000 usahawan wanita dari seluruh Sabah.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID