fb fb fb fb fb

Tuduhan ADUN Melor disifatkan melulu, tidak cermat

Sidang DUN Kelantan/ Foto fail BERNAMA

KOTA BHARU, 23 April- Tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohaimi Wan Daud, terhadap kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Kelantan berhubung isu keselamatan di negeri itu disifatkan sebagai melulu dan tidak cermat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata tidak wajar untuk seseorang ADUN mempertikai kenyataan dikeluarkan oleh polis tentang bidang tugas mereka dalam usaha memberi kesedaran dan membenteras jenayah dalam kalangan masyarakat.

Perkara itu lebih mengecewakan apabila ada individu mengaitkan perkara itu dengan isu politik.

"Kedua-dua kepimpinan serta pasukan polis adalah penjawat awam yang tertakluk kepada arahan dan peraturan demi menjaga keselamatan negara.

"Tuduhan sedemikian juga jelas beliau bersifat bacul dan amat berat kepada pasukan polis sambil berlindung disebalik 'imuniti' Dewan Undangan Negeri Kelantan," menurut Ahmad Jazlan dalam satu kenyataan.

Justeru ADUN Melor itu dicabar untuk mengulangi tuduhan itu sekali lagi di luar Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi menunjukkan kebertanggungjawaban atas kenyataan jahat yang memberi persepsi buruk kepada penjawat awam dan Kerajaan Perpaduan.

Semalam, ketika perbahasan Titah Diraja Dewan Undangan Negeri Kelantan, Wan Rohaimi mendakwa kenyataan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat, bahawa pempengaruh usahawan kosmetik sebagai ketua sindiket jual dadah tidak dinyatakan secara berfakta dan tiada data.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI