JOHOR BAHRU, 23 April- Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, meninggal dunia, manakala ibu bapanya cedera, selepas kenderaan mereka terbabas di Jalan Adda Lima, Taman Adda Height, Johor Bahru, pukul 12.40 tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari Taman Mount Austin, menuju Taman Adda Height.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka terbabas sendiri ke bahu kiri jalan, lalu melanggar sebatang pokok.
"Seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, digerakkan ke lokasi kejadian, untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas," menurut Azrul Hisham.
Ibu mangsa berumur 23 tahun, patah kedua-dua paha dan kini dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Manakala bapa mangsa berusia 24 tahun, cedera di kaki kanan dan dirawat di zon kuning hospital sama.