fb fb fb fb fb

Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri

Foto Facebook MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 29 Oktober -Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir disertai hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di seluruh negara hingga 12 tengah hari ini.

Keadaan cuaca itu dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan dijangka terjejas di Kedah ialah Langkawi, Yan, Kuala Muda, Baling, dan Kulim, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara serta Seberang Perai Tengah.

"Di Selangor, cuaca buruk diramal berlaku di Klang, Kuala Langat, dan Sepang, sementara di Negeri Sembilan meliputi Seremban, Port Dickson, dan Rembau.

"Bagi Melaka, kawasan terlibat ialah Alor Gajah dan Melaka Tengah, manakala di Sabah melibatkan Tawau, Sandakan, dan Kinabatangan," menurut kenyataan itu.

Orang awam diingatkan sentiasa berwaspada kerana hujan lebat dan angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan di kawasan terjejas.

TETITIA YUSOFF