KULIM, 29 Oktober -Majlis Perbandaran Kulim sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter 2025 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pengiktirafan itu diberikan atas komitmen dan usaha gigih dalam merangka serta melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Pintar Mampan Kulim 2035.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Datuk Elmi Yusoff sempena Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) 2025 dan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025, di Putrajaya.
Majlis Perbandaran Kulim diiktiraf atas keberhasilan strategi pintar dalam aspek pentadbiran digital, ekonomi pintar, infrastruktur digital, kesejahteraan komuniti, mobiliti lestari serta kelestarian alam sekitar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial.
Datuk Elmi dalam kenyataan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Majlis Perbandaran Kulim atas dedikasi, komitmen dan kerjasama berterusan dalam menjadikan Kulim sebuah bandar pintar, mampan dan berdaya huni menjelang 2035.
Ia selaras dengan Agenda Bandar Pintar Negara ke arah pembangunan bandar yang inklusif, berdaya saing dan berteknologi tinggi.
Pengiktirafan ini diberikan kepada pihak berkuasa tempatan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Malaysia berdasarkan penilaian MS ISO 37122:2019- Sustainable Cities and Communities Indicators for Smart Cities.
Selain Majlis Perbandaran Kulim, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Perbandaran Kubang Pasu dan Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim turut menerima anugerah Smart City Early Adopter 2025.
