IPOH, 29 OKTOBER – Pelbagai produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM1.5 juta dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan pada Khamis lalu.
Menurut kenyataan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri Perak, operasi dijalankan hasil aduan orang awam serta pemantauan pihak berkuasa di beberapa kawasan sekitar Bercham, Meru dan Jelapang.
Pemeriksaan ke atas empat premis mendapati hampir 300 jenis produk termasuk ubat tradisional, ubat-ubatan luar negara yang tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi, disita.
Turut dirampas, tiga peranti digital dipercayai digunakan untuk tujuan penjualan dan promosi.
Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi kesalahan pertama, denda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun.
Menurut CPF Perak, tindakan itu sebahagian daripada usaha berterusan membanteras penjualan produk kesihatan tidak sah di pasaran tempatan.
Seiring dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mempergiat kempen kesedaran “Tolak Ubat Tidak Sah” (TOBaTS) bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko penggunaan produk tidak berdaftar.
Orang ramai dinasihat menyemak status pendaftaran produk melalui laman web rasmi www.npra.gov.my sebelum membuat sebarang pembelian.
