fb fb fb fb fb

PM ke Korea Selatan fokus perkukuh perkongsian strategik dan perdagangan

Datuk Mohd Zamruni Khalid

GYEONGJU, 29 Oktober - Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan turut membawa misi memperkukuh hubungan bilateral dengan negara republik tersebut yang sudah melangkah ke tahap perkongsian strategik.

Duta Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata, ia akan memfokuskan kepada bidang pertahanan, maritim, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur.

Korea Selatan, rakan dagang kelapan terbesar bagi Malaysia tahun lepas, dengan nilai dagangan mencecah AS$24.01 bilion.

"Ini merupakan tahun keempat berturut-turut jumlah perdagangan kita melebihi AS$20 bilion, jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Korea Selatan, jumlah perdagangan mereka adalah lebih rendah daripada apa yang telah kita capai," katanya menerusi panggilan video di sini.

Mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Korea Selatan dengan Malaysia yang sudah dipersetujui bersama, beliau berharap pemeteraiannya dapat dilakukan awal tahun depan.

Malaysia sudah bersedia sepenuhnya, namun Republik itu masih perlu melalui beberapa proses domestik termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen Korea Selatan, sebelum memeterai FTA berkenaan.

Sebaik dilulus dan dikuatkuasa, FTA tersebut mampu melonjakkan nilai dagang Kuala Lumpur dengan Seoul terutama dalam sektor tenaga, pertahanan, automotif dan digital. 

Seterusnya, memangkin ekonomi APEC lain untuk melaksana langkah sama bagi mewujudkan jaringan perdagangan bebas dan adil.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI