KUALA LUMPUR, 23 Mac - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diperlengkapkan dengan tujuh aset terkini dalam usaha meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udara negara dan aset dijangka beroperasi seawal 2024.
Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman berkata perolehan beberapa aset baharu itu selaras dengan misi membangunkan keupayaan hadapan TUDM.
Antara aset tersebut, ialah pesawat Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS), pesawat helikopter utiliti baharu dan Pesawat Peronda Maritim (MPA).
Juga, sistem pertahanan udara jarak jauh (LONG-RAD) dan sederhana (ME-RAD).
"Kita mempunyai dua rangka plan iaitu satu plan jangka pendek dan plan jangka panjang, plan jangka pendek untuk TUDM adalah membuat pajakan dimana sudah dalam proses dan kita telah gunakan helikopter tersebut.
"Pajakan ini ambil masa selama empat ke lima tahun maksimum. Maka untuk menentukan proses seterusnya berjalan iaitu proses pembelian helikopter baharu ini, kita akan bermula awal sebab kita rancang antara 2024-2025 kita akan ada helikopter baharu," katanya pada sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan, di sini.
Terdahulu, Mohd Asghar dalam ucapan ulungnya, menggariskan enam tonggak dalam mencapai visi dan misinya sebagai Panglima Tentera Udara yang baharu.
Enam tonggak itu ialah pemantapan keupayaan dan kesiagaan TUDM, keunggulan struktur dan kecemerlangan organisasi serta pemerkasaan dan pengupayaan warga udara.
Selain itu, mengoptimumkan pengurusan sumber dan meningkatkan budaya inovasi, meningkatkan keupayaan TUDM melalui kolaborasi bersama industri pertahanan tempatan dan yang terakhir, kebajikan sosial dan kelestarian warga.