fb fb fb fb fb

Kedah serahkan kepada kerajaan pusat berhubung keputusan eksport daun ketum

ALOR SETAR, 23 Mac- Kerajaan Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan pusat untuk membuat keputusan, sama-ada cadangan untuk mengeksport daun ketum diluluskan atau sebaliknya.

Kerajaan negeri akan akur dengan keputusan kerajaan Persekutuan sekiranya cadangan untuk mengeksport daun ketum ke Thailand tidak diluluskan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata cadangan membenarkan mengeksport daun ketum terutama di negara Thailand adalah bagi tujuan perubatan.

Pihaknya bagaimanapun akan membentangkan kertas cadangan kepada kerajaan pusat selepas mengadakan sesi libat urus dengan agensi penguat kuasa, pekebun dan penanam ketum.

"Kita akan adakan sesi libat urus dengan agensi penguatkuasaan termasuk dengan pekebun atau penanam. Jika ada orang seludup sekali kalau mereka sanggup bagi cadangan apa salahnya untuk kita kemukakan kepada kerajaan Persekutuan.

"Kita baru di peringkat cadangan sekiranya cadangan ini tidak dapat dipertimbangkan, kita akur. Sekiranya ada kelulusan, sesuatu yang baru yang hendak digubal maka kita tunggu sehingga satu keputusan dapat dimuktamadkan," kata Sanusi kepada media selepas selesai Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14, Wisma Darulaman.


(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan perkara tersebut kepada media di Wisma Darulaman)

Menurutnya, terdapat kebaikan sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti eksport daun ketum segar daripada terus berlaku penyeludupan tumbuhan itu selain disalah guna oleh masyarakat.

Media Baharu