KUALA LUMPUR, 22 Jun- Pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di ruang udara tertentu, khususnya sekitar Subang, bermula hari ini sehingga Khamis depan.
Menurut kenyataan TUDM, latihan tersebut diadakan sempena Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara (PTU) ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, yang dijadual berlangsung di Pangkalan Udara Subang pada 26 Jun ini.
“Sehubungan itu, TUDM memohon kerjasama orang ramai untuk tidak cemas sekiranya melihat pesawat terbang rendah di kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.
Tan Sri Mohd Asghar Khan telah berkhidmat dalam TUDM selama lebih 42 tahun sejak menyertai pasukan itu sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 18 Julai 1983.
Beliau memulakan karier sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985 dan mempunyai pengalaman menerbangkan pelbagai pesawat termasuk A-4 Skyhawk, F-5E Tiger II, MiG-29N Fulcrum serta Sukhoi Su-30MKM.
Beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 pada 7 Mac 2022, menggantikan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara wajib.