fb fb fb fb fb

BUDI95: Dua juta pengguna direkodkan pada hari ke-4

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) hadir membuat tinjuan pelaksaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Sri Hartamas, di sini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September - Dua juta pengguna direkodkan pada hari keempat pelancaran Inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata angka itu menjadikan jumlah keseluruhan terkini mencecah hampir tiga juta pengguna dengan jualan melebihi RM91 juta bagi tempoh tersebut.

“Alhamdulillah, pergerakan yang kita nampak hari ini pun lancar. Tidak ada banyak orang yang merungut.

“Pergerakan kenderaan juga mungkin lebih daripada biasa kerana ramai teruja untuk mendapatkan harga minyak yang lebih rendah", katanya.

Beliau berkata kepada media pada sesi tinjauan pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Sri Hartamas, di ibu negara.

Menurutnya, kerajaan sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pemilik bot turut menerima manfaat inisiatif BUDI95.

“Kita juga ada mendengar daripada mereka yang ada bot dengan enjin sangkut, mereka tidak dapat subsidi. Dari segi dasarnya, kita bersetuju untuk mereka mendapat kelayakan dengan tahap kelayakan yang akan ditentukan.

“Jadi, kita sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, data-data daripada pemilik bot ini akan dimasukkan dalam sistem dan mereka juga akan dapat kelayakan.

Tambahnya, kelonggaran turut diberikan kepada individu yang mempunyai lesen memandu telah tamat tempoh kurang daripada tiga tahun.

“Kita masih memberikan BUDI95 dan menggalakkan mereka membaharui lesen kerana yang penting lesen mereka sah apabila membawa kereta,”

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula 27 September dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi kategori B40 pada Ahad.

Seramai 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding dengan harga pasaran semasa RM2.05 seliter, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober ini.

ROSLINA BINTI DIN