fb fb fb fb fb

PM Anwar beri amaran kepada 'jerung', ikrar bersihkan rasuah dalam tempoh tiga tahun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI siri ke-8/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 30 September  - Perdana Menteri Anwar Ibrahim menetapkan sasaran dua hingga tiga tahun untuk membanteras kes rasuah besar, khususnya melibatkan pemimpin atasan yang digelar sebagai ‘jerung’.

Katanya, walaupun memburu golongan berprofil tinggi berdepan cabaran kerana mempunyai pengaruh politik, media dan kewangan, keutamaan tetap diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak.

“Saya ingat kalau boleh dalam dua, tiga tahun 'we clean up the mess'. Mesej jelas...you menteri ke, you KS (Ketua Setiausaha), KP (Ketua Pengarah) ke, kalau you nampak salah laku, we'll go after you. Not today, tomorrow, not tomorrow...next year. You pencen pun, kita dapat bukti curi semasa you berkuasa, we'll go after you. Itu tekad saya.

“Kalau kita lihat kepada keutamaan yang saya berikan kepada SPRM, fokus utama adalah kepada 'jerung'. Tetapi itu tidak bermakna ‘ikan bilis’ dibiarkan bebas hingga jadi besar.

“Berdepan jerung jauh lebih mencabar kerana mereka ada sumber besar - mampu membayar media sosial, pimpinan parti politik, dan media arus perdana, selain kekuatan tersendiri,” katanya dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani siri kelapan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Institut Integriti Malaysia (IIM).

Turut menjadi panel forum itu ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif IIM Ahmad Ramdzan Daud; serta Prof Emeritus Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan sesiapa sahaja, termasuk bekas pemegang jawatan tinggi kerajaan, akan diheret ke muka pengadilan sekiranya terbukti terlibat rasuah, tanpa mengira kedudukan atau status.

Beliau berkata pengalamannya sebelum ini yang pernah dipenjara, dipukul dan dihina bukanlah isu besar, namun menegaskan tindakan mencuri kekayaan negara ialah satu bentuk hipokrasi yang tidak boleh dimaafkan.

“Soal saya dipenjarakan, soal saya dipukul, diaibkan, itu saya tidak jadikan isu. Saya boleh maafkan. Tetapi, curi daripada negara, berbilion (ringgit), itu sejujurnya hipokrasi.

“Kalau ada bukti, itu tanggungjawab SPRM untuk siasat dan hakim yang akan tentukan. Urusan saya ialah pastikan wang berbilion ringgit yang dicuri dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyokong cadangan memperkukuh peranan badan penguatkuasaan, termasuk SPRM, untuk memastikan komitmen itu dapat direalisasikan.

GRACE AISYAH KEDAYAN