KUALA LUMPUR, 30 September - Agenda wanita, keamanan dan keselamatan (WPS) di rantau Asia Tenggara perlu bermula dari rumah sebelum dikembangkan ke peringkat global.
Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar menegaskan setiap pelan tindakan yang digubal perlu memberi penekanan kepada langkah pencegahan agar sebarang konflik dapat dihindarkan daripada membesar menjadi krisis.
“Agenda WPS ini pada awalnya memang digerakkan melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Wanita, Keamanan dan Keselamatan yang dilancarkan Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri kira-kira dua minggu lalu. Penting untuk memastikan ia berakar dari bawah kerana pencegahan konflik bermula daripada masyarakat, sebelum merebak kepada tahap yang lebih besar,” katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Kepemimpinan Wanita Asia Tenggara bertemakan Wanita, Keamanan dan Keselamatan di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Nurul Izzah turut menegaskan keperluan untuk menilai kesan konflik terhadap wanita dan kanak-kanak, termasuk pengalaman di Thailand, Kemboja serta di selatan Filipina yang pernah menyaksikan proses damai dan pasca konflik.
Selain itu, isu Gaza turut disentuh sebagai peringatan bahawa pelanggaran undang-undang antarabangsa memberi ancaman kepada keamanan global.
Malaysia melalui Wisma Putra kini mengikuti rapat perkembangan misi Global Sumud Flotilla yang disertai wanita Malaysia dalam usaha solidariti untuk Palestin.
“Kita mesti memperkukuh persaudaraan serantau. Walaupun rantau kita kini selamat, kita tidak boleh leka. Apa yang berlaku di Gaza menunjukkan apabila undang-undang antarabangsa tidak dihormati, ia menjadi bahaya kepada seluruh dunia,” jelasnya.