fb fb fb fb fb

Sultan Kedah sokong usaha pembangunan ekonomi negeri secara inklusif

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-83 di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah / Foto Bernama

ALOR SETAR, 22 Jun – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, menyambut baik usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri dalam merancang pembangunan ekonomi demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Baginda turut melahirkan rasa syukur terhadap prestasi pelaburan negeri yang terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, sekali gus mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap potensi Kedah sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan stabil.

“Namun demikian, beta ingin menegaskan bahawa ekonomi negeri mestilah bersifat menyeluruh, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

"Beta ingin melihat tumpuan strategik diberikan kepada sektor-sektor berimpak tinggi yang bukan sahaja menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, bahkan membawa kesan limpahan ekonomi yang besar kepada negeri,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-83 di Istana Anak Bukit, di sini.

Dalam titah yang sama, baginda turut menekankan pentingnya perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk, yang menurut baginda memerlukan sikap saling menghormati dan kepekaan terhadap sensitiviti antara satu sama lain.

“Ia penting bagi memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini khususnya terus kukuh dan terpelihara,” titah baginda.

Berangkat sama ke istiadat tersebut ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah; dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali; serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar mendahului senarai penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang ke-83.

Tan Sri Mohd Nizam dianugerahkan Darjah Seri Setia Pahlawan Yang DiHormati (SSPK) yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan.

Dalam istiadat penganugerahan di Istana Anak Bukit di sini, baginda turut berkenan mengurniakan gelaran Orang Besar Lapan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang membawa gelaran Datuk Seri Indera Setia, serta kepada Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dengan gelaran Datuk Seri Derma Wangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN