fb fb fb fb fb

Kejayaan MAWO MRSM Ulul Albab membanggakan

Foto Facebook Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, FELDA Trolak, atas kejayaan pasukan itu meraih anugerah emas ‘Golden Diploma Award’ di Prague.

Beliau menyifatkan kejayaan itu satu kebanggaan buat keluarga besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta rakyat Malaysia.

"Cuba bayangkan, anak-anak Felda ini baru sahaja menghidupkan semula orkestra ini, tapi sudah berjaya membuktikan bahawa anak Felda benar-benar MENDONIA!", katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, MAWO dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak melakar sejarah membanggakan apabila muncul juara dan membawa pulang anugerah Golden Diploma Award dalam kategori ‘middle class’ di Festival Orkestra Tiupan Antarabangsa Prague 2025.

MAWO menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara, sekali gus menjadi kumpulan terbaik dalam kategori tersebut selepas menerima markah tertinggi daripada panel juri profesional.

Golden Diploma merupakan pengiktirafan tertinggi dalam pertandingan tersebut, diikuti anugerah perak dan gangsa, berdasarkan sistem pemarkahan menyeluruh yang menilai aspek teknikal, persembahan dan kesepaduan muzik.

Tahun ini, sebanyak 13 kumpulan orkestra dari 11 negara mengambil bahagian dalam edisi 2025, dengan Malaysia menjadi satu-satunya wakil dari benua Asia manakala 10 lagi peserta lain mewakili negara-negara Eropah.

ROSLINA BINTI DIN