PETALING JAYA, 1 Oktober - Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melalui kerjasama MCIS Life dan Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan NCSM LungShield bagi memperkukuh pengesanan dan penjagaan kanser paru-paru di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelancaran NCSM LungShield adalah tepat pada masanya dan merupakan pelengkap penting kepada pilihan pembiayaan kesihatan negara kita.
Beliau berkata, kanser paru-paru merupakan kanser kedua paling lazim dalam kalangan lelaki dan ketiga paling lazim bagi wanita di Malaysia dengan sembilan daripada 10 kes dikesan lewat iaitu pada tahap tiga atau tahap empat, apabila 95 peratus daripada kes didiagnosis pada peringkat lewat tersebut.
"LungShield bukan sekadar produk kewangan. Ia merupakan pakej saringan dan diagnostik kanser paru-paru yang komprehensif dengan dua manfaat utama, pengesanan awal dan jaminan kewangan.
"Paling penting, LungShield membantu meruntuhkan halangan diskriminasi. Buat pertama kali, individu berisiko tinggi termasuk perokok dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada akan mendapat akses kepada perlindungan yang mampu milik.
"Langkah ini dapat mengurangkan beban kewangan keluarga serta memastikan tiada siapa yang tercicir," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran NCSM LungShield di bawah Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia di sini, malam tadi.
Tambah Dr Dzulkefly, beliau yakin ia mampu mengubah naratif kanser paru-paru di Malaysia daripada diagnosis peringkat lewat kepada pengesanan awal, kelangsungan hidup dan harapan.
Terdahulu, NCSM LungShield merupakan pakej saringan dan diagnostik kanser paru-paru yang komprehensif, merangkumi saringan X-ray dada berasaskan kecerdasan buatan (AI).
NCSM LungShield turut disertakan pelan insurans lengkap LungLife, yang menawarkan perlindungan sehingga RM10,000 untuk tempoh setahun, sekali gus meringankan kos perkhidmatan saringan dan diagnostik serta memberi ketenangan fikiran kepada individu.