fb fb fb fb fb

Program 'Zero to Hero' taja 15 pelajar asnaf, B40 ke arah kerjaya industri

15 pelajar baharu menyertai Program ‘Zero to Hero’ dan setiap peserta menerima tajaan sebanyak RM29,500 meliputi yuran latihan, penginapan, keperluan asas serta elaun sara hidup sepanjang mengikuti kursus selama 16 minggu

KANGAR, 1 Oktober -Seramai 15 pelajar baharu dalam kalangan asnaf dan B40 terpilih menyertai Program ‘Zero to Hero’.

Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Mat Rejab berkata, setiap peserta menerima tajaan bernilai RM29,500 merangkumi yuran latihan, penginapan, keperluan asas dan elaun sara hidup sepanjang tempoh kursus selama 16 minggu.

Katanya, program itu bertujuan memberi peluang kepada golongan asnaf dan B40 untuk memperoleh kemahiran teknikal yang mampu menjamin masa depan mereka melalui penempatan kerja dalam industri berkaitan selepas tamat latihan

'' MAIPs yakin bahawa pelaburan terhadap pembangunan insan melalui model latihan dan pekerjaan ini mampu mewujudkan generasi baharu yang berkemahiran, berdikari dan mampu menyumbang semula kepada masyarakat.''

'' Selain itu, pendekatan ini juga menjadikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebagai antara jalan keluar kemiskinan jangka panjang, sekali gus membina maruah diri serta memperkasa daya saing umat Islam," katanya pada perasmian dan pelepasan 15 pelajar baharu di kalangan asnaf bagi mengikuti Program Zero to Hero di The Welding Institute (TWI) Shah Alam di Dewan Kuliyyah MAIPs, Behor Temak.

Program itu bawah kendalian The Welding Institute (TWI) dengan tajaan penuh daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Hingga kini, lebih 1,500 pelajar dari Perlis telah menyertai pelbagai program tajaan MAIPs yang berjaya menghasilkan penempatan kerja sama ada dalam industri tempatan mahupun luar negara menerusi 23 rakan kolaborasi MAIPs.

The Welding Institute (TWI) merupakan sebuah institusi latihan teknikal antarabangsa yang diiktiraf dalam bidang kimpalan, pemeriksaan kejuruteraan dan teknologi pembuatan, dengan jaringan kerjasama industri yang kukuh di seluruh dunia.

Program Zero To Hero turut mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Joggers Perlis diketuai Pengerusinya, Hashimah Ismail bagi mendapatkan maklumat serta peserta dalam kalangan asnaf menyertai program latihan disediakan.

TETITIA YUSOFF