fb fb fb fb fb

Puteri Anne lawat Ukraine, zahir solidariti terhadap kanak-kanak, keluarga terkesan perang

Puteri Anne mengadakan lawatan ke Ukraine bagi menzahirkan solidariti terhadap kanak-kanak dan keluarga yang terkesan akibat peperangan/REUTERS

LONDON, 1 Oktober - Puteri Anne, satu-satunya anak perempuan mendiang Ratu Elizabeth, mengadakan lawatan ke Ukraine bagi menzahirkan solidariti terhadap kanak-kanak dan keluarga yang terkesan akibat peperangan, menurut Istana Buckingham pada Rabu.

Puteri Diraja Britain berusia 75 tahun itu, bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy semasa lawatan ke Kiev pada Selasa, bagi membincangkan sokongan berterusan Britain terhadap Ukraine serta beberapa isu lain.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menzahirkan penghormatan di tugu peringatan bagi kanak-kanak yang terkorban sejak konflik bermula pada Februari 2022. Beliau diiringi Wanita Pertama Ukraine, Olena Zelenska, dan meletakkan sebuah mainan sebagai tanda penghormatan.

Puteri Anne turut berinteraksi dengan kanak-kanak Ukraine yang dipindahkan atau dideportasi Rusia, selain melawat sebuah pusat pemulihan untuk bertemu veteran yang baru pulang dari barisan hadapan.

Lawatan Puteri Anne ke Ukraine menyusul selepas kunjungan anak saudara beliau, Putera Harry, anak bongsu Raja Charles, yang melawat Kiev awal bulan ini bersama pasukan daripada Yayasan Invictus Games bagi mengetengahkan usaha sokongan terhadap pemulihan askar yang tercedera.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI