KUALA LUMPUR, 18 April – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal membawakan pembaharuan dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 dengan menampilkan penglibatan lebih meluas daripada negara-negara sahabat.
Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Norli Hisham Alwi berkata edisi kali ini memberi fokus kepada kerjasama antarabangsa dalam usaha memperlihatkan kekuatan serta keberkesanan sistem pertahanan udara negara luar yang berpotensi untuk diaplikasikan oleh TUDM.
“Kita berkolaborasi dan berkomunikasi dengan negara-negara sahabat untuk menjemput mereka membawa pesawat tertentu bagi dipamerkan di LIMA 2025.
“Tujuannya adalah untuk kita menilai sendiri keberkesanan pertahanan mereka dan bagaimana kita boleh mengadaptasikan sistem serta platform yang dimiliki ke dalam aset pertahanan TUDM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran dari Angkasapuri Kota Media, di sini.
Dalam pada itu, Norli Hisham turut memaklumkan pihak TUDM memberi keutamaan kepada penglibatan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi memberi pendedahan kepada teknologi terkini dalam bidang aeroangkasa dan ketenteraan.