IPOH, 18 April- Sebanyak lima peratus daripada keseluruhan unit Rumah Perakku diperuntukkan khas kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, belia dan warga emas.
Exco Perumahan Sandrea Ng Shy Ching berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh keadilan sosial dalam pemilikan perumahan.
Beliau berkata, pendekatan strategik dan menyeluruh sedang digerakkan berikutan Perak dijangka menjadi negeri pertama berstatus menua menjelang tahun 2030.
"Sebagai persiapan, portfolio perumahan dan kerajaan tempatan negeri telah memperkenalkan Program Sejahtera Warga Emas – Komuniti Mesra Usia.
"Melalui program ini, pelbagai aspek telah dikenal pasti dan dibincangkan termasuk keperluan warga emas dari sudut perumahan dan kemudahan sokongan, keperluan reka bentuk rumah yang lebih selamat, mudah diakses dan sesuai untuk mobiliti terhad, peluang pembangunan komuniti dan sosial yang mesra warga emas", katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh.