fb fb fb fb fb

Tubuh jawatankuasa khas teliti isu rumah ibadat dalam kawasan gua batu kapur



IPOH, 12 Januari
- Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti isu rumah ibadat yang dibina di dalam kawasan gua batu kapur di sekitar daerah Kinta, Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia susulan pengeluaran notis terhadap 14 rumah ibadat di dalam gua yang dibina di atas tanah kerajaan, baru-baru ini.

Jelas beliau, kerja-kerja pembinaan struktur yang semakin aktif di kawasan terlibat juga boleh mengundang risiko runtuhan.

"Yang ni yang kita sangat ambil berat kerana faktor cuaca dan yang paling menakutkan ialah kita mendapat laporan daripada bomba, pengusaha-pengusaha ini telah mengubah suai struktur dalam gua tersebut.

Pengubahsuaian itu tiada siapa yang kawal dan ia terdedah kepada kemungkinan berlaku runtuhan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Tambah beliau, status 14 rumah ibadat itu akan ditentukan sama ada melalui kaedah perizaban, lesen pendudukan sementara mahupun pajakan tanah rizab.

Jawatankuasa khas itu juga akan memperincikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi, disamping mekanisme kawalan terhadap struktur dan binaan.

Media Baharu