fb fb fb fb fb

PDRM buru sindiket jual sijil vaksinasi palsu di seluruh negara

 

KUALA LUMPUR, 12 Januari - Operasi dan pemantauan menyeluruh akan dipergiat bagi mengenal pasti pihak disyaki terlibat dengan sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan, sindiket seumpamanya yang di kesan di Marang, Terengganu itu, turut wujud di negeri-negeri lain.

“Oleh demikian, saya telah mengarahkan ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen negeri melalui Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din untuk menjalankan risikan.

“Risikan berkenaan adalah untuk mengesan sama ada terdapat lagi perkara sama berlaku di tempat-tempat lain,” katanya selepas menghadiri program pendidikan dan kemahiran awal murid autisme di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

Tambah beliau, setakat ini PDRM hanya mengesan satu sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu di Marang, Terengganu.

“Siasatan polis Terengganu mengesan sindiket berkenaan yang dilakukan oleh seorang suspek lelaki dan kami masih sedang mengesan jika ia berlaku di negeri-negeri lain,” katanya.

Acryl Sani menegaskan, PDRM memandang serius mengenai sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu kerana ia menghalang usaha kerajaan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Isnin lepas, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan seorang doktor berusia 51 tahun ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Media Baharu