fb fb fb fb fb

Rosmah fail permohonan baharu gugur hakim bicara kes pengubahan wang haram


KUALA LUMPUR, 12 Januari- Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan baharu untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar perbicaraan kes pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA), dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Ini merupakan kali kedua isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan itu selepas Mohamed Zaini, juga hakim yang sama mendengar perbicaraan kes hibrid solar Rosmah, telah menolak permohonannya pada 14 Disember 2021.

Peguam Rosmah, Reza Rahim memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan baru itu difailkan semalam pada pukul 5 petang.

Beliau berkata permohonan itu dibuat berdasarkan alasan baharu.

Dalam pada itu, peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah mempertikai surat pelantikan secara fiat Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan kesemua permohonan Datin Sri Rosmah didengar pada 24 Januari ini.

Datin Seri Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Media Baharu