PUTRAJAYA, 26 Julai - Akademi Bahas MADANI akan ditubuhkan secara berperingkat di semua 72 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara.
Penubuhan akademi itu bagi memperkasa kemahiran berbahasa, melatih pelajar berdebat secara intelektual dan mencungkil bakat baharu dalam arena perbahasan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, akademi bukan sekadar pusat latihan, tetapi turut berperanan sebagai platform membentuk pelajar agar mampu berhujah dengan penuh keyakinan, berakhlak dan beradab, terutama apabila berbeza pandangan.
“Agenda ini sangat baik kerana kita mahu melatih lebih ramai murid menyuarakan pendapat dengan disiplin ilmu yang mantap.
Penekanan bukan hanya pada hujah, tetapi juga pada nilai dan akhlak dalam berhujah,” katanya.
Penubuhan akademi itu juga menjadi sebahagian agenda utama penganjuran Pertandingan Bahas Perdana Menteri akan datang, selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa generasi muda melalui pemikiran kritis dan pengucapan beradab.
Fadhlina berkata demikian selepas Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertandingan edisi kali ini menyaksikan Sekolah Menengah Sultan Alam Shah dinobatkan sebagai johan kategori Bahasa Inggeris, manakala Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang muncul juara kategori Bahasa Melayu.