fb fb fb fb fb

Program bantuan asnaf perkasa semangat prihatin mahasiswa UUMKL, NGO

Wanita Ikon Wilayah Persekutuan 2024/2026, Norriza Muhamad Yusof

PUCHONG, 26 Julai -Seramai 165 pelajar asnaf dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit dan 50 penerima lain daripada keluarga berpendapatan rendah menerima bantuan menerusi program amal anjuran bersama Kelab Wanita Ikon Malaysia Wilayah Persekutuan (KWIM WP), Waqaf An-Nur Corporation, Universiti Utara Malaysia dan Kampus Kuala Lumpur (UUMKL).

Program bertemakan “Helping the Asnaf: A Campaign of Sharing & Sustainability” itu telah dirancang selama sebulan setengah, dengan objektif membantu komuniti asnaf menerusi sumbangan barang keperluan kering, barangan elektrik terpakai, pakaian terpakai, serta bantuan kewangan tunai.

Menurut Wanita Ikon Wilayah Persekutuan 2024/2026, Norriza Muhamad Yusof, yang juga pelajar Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam UUMKL, program tersebut merupakan kesinambungan inisiatif tanggungjawab sosial yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu melalui peruntukan wakalah zakat, termasuk wakalah perniagaan, individu dan majikan daripada Lembaga Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ).

"Sumbangan kali ini melibatkan kutipan wang tunai berjumlah lebih RM8,000 dan sumbangan wakalah lebih RM8,000 menjadikan jumlah keseluruhan melebihi RM20,000 dalam tempoh sebulan setengah,"ujar beliau.

Sebagai permulaan, 10 penerima asnaf daripada Masjid Asy-Syakirin, Puchong telah menerima bantuan pada hari ini sebagai program pra-penyerahan, manakala 40 lagi keluarga asnaf akan menerima bantuan susulan di SBJK Chow Kit.

Norriza mengulas lagi, ini merupakan kali kedua kerjasama diadakan bersama sekolah SBJK, memandangkan keperluan tinggi dalam kalangan pelajarnya.

"Kami pastikan semua penerima adalah daripada senarai yang sah dan berdaftar, dalam masa sama, menyeru golongan asnaf yang belum berdaftar supaya tampil mendaftar agar dapat menerima bantuan melalui saluran yang betul," tambahnya.

Program tersebut turut memperkukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar UUMKL serta jalinan strategik antara institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam menyantuni komuniti yang memerlukan.

TETITIA YUSOFF