fb fb fb fb fb

KPM jamin siasatan telus kes kematian pelajar di Sabah 

Fadhlina jamin siasatan kes kematian pelajar di Sabah dijalankan secara telus dan adil.

PUTRAJAYA, 26 Julai - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan siasatan berhubung kematian seorang pelajar perempuan di Sabah dipercayai menjadi mangsa buli dijalankan secara telus, adil dan berlandaskan undang-undang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM kini menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memberi komitmen penuh untuk bekerjasama bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

“Kita beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Selepas siasatan lengkap, KPM akan ambil tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang dan tanggungjawab kementerian.

"Saya beri jaminan bahawa siasatan ini akan berlangsung secara telus,” tegasnya.

Dalam masa sama, beberapa tindakan segera telah diambil termasuk sokongan psikologi dan emosi kepada keluarga mangsa serta warga sekolah terlibat.

Bantuan berkenaan melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, pegawai kaunseling daerah dan agensi berkaitan.

Pertengahan bulan lalu, negara dikejutkan dengan kematian Zara Qairina, 13 tahun, pelajar sebuah sekolah menengah agama di Sabah, yang dipercayai terjatuh dari bangunan asrama.

Kes tersebut mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai isu buli di sekolah.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN