fb fb fb fb fb

Talian 997 beroperasi 24 jam mulai September

Foto hiasan

KULAI, 24 Julai - Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian digesa menghubungi talian 997, Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC), yang akan beroperasi 24 jam bermula September ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dengan operasi 24 jam NSRC kelak, mangsa penipuan berpeluang bertindak lebih pantas seterusnya langkah penting untuk memutuskan rantaian jenayah dalam talian.

“Kalau mangsa sedar mereka ditipu pada pukul 9 atau 11 malam pun, mereka tetap boleh hubungi 997.

"Saya harap lebih ramai tahu kewujudan hotline ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan peningkatan mendadak iklan penipuan di media sosial, dengan 46,817 hantaran berkaitan direkodkan setakat 15 Julai.

Laman Facebook kekal sebagai platform utama dengan 80 peratus iklan penipuan dikesan di situ.

Malah, enam akaun palsu turut dikenal pasti menggunakan wajah beliau bagi menyebarkan kandungan palsu.

Talian 997 dikendali NSRC ini membolehkan tindakan segera diambil bagi melakukan sekatan terhadap wang yang dipindahkan mangsa kepada penjenayah.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN