PUTRAJAYA, 26 Julai - Keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Batu Puteh tidak melangkaui bidang kuasa Peguam Negara.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun suruhanjaya berkenaan mengusulkan supaya tindakan diambil terhadap bekas perdana menteri itu, keputusan akhir adalah berdasarkan pertimbangan Kabinet.
“Laporan pasukan khas telah mengusulkan supaya laporan polis dibuat terhadap Tun Dr. Mahathir kerana pengkhianatan terhadap negara dan tindakan susulan diambil.
Saya tidak melangkau keputusan Peguam Negara. Keputusan Kabinet melihat kepada keseluruhan. Walaupun pengkhianatan itu besar, tetapi melihat kepada keadaan semasa Tun, kita usulkan tak perlu diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Datuk Seri Anwar mengulas gesaan pembangkang yang membawa usul merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Jelas Datuk Seri Anwar, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hanya mengikut proses yang ada, namun belum membaca sepenuhnya laporan suruhanjaya tersebut.