fb fb fb fb fb

Longkang konkrit siap, penduduk Kampung Melayu Bukit Batu lega banjir ditangani

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (dua dari kanan) meneliti pelan projek semasa Lawatan Tapak Projek Banjir di Jalan Masjid, Kampung Melayu Bukit Batu, hari ini / Foto BERNAMA

KULAI, 26 Julai – Masalah banjir berulang yang membelenggu Kampung Melayu Bukit Batu sejak lebih 10 tahun lalu mula menemui penyelesaian apabila projek pembinaan longkang konkrit-U sepanjang 190 meter di kawasan itu siap sepenuhnya kelmarin.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, projek itu melibatkan peruntukan RM200,000 sebagai langkah mempercepat aliran air di kawasan rendah yang kerap dinaiki air.

“Kita harap melalui beberapa sumber, termasuk peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen serta sumbangan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Ekonomi, kita boleh bantu meringankan masalah yang dihadapi penduduk,” katanya.

Sebelum ini, penduduk berdepan banjir hampir setiap bulan, dengan empat kejadian berlaku tahun ini sahaja – termasuk sewaktu Ramadan dan Aidilfitri.

Penghulu Mukim Bukit Batu, Mohammad Norzaharuddin Kasimon berkata, peruntukan tersebut amat diperlukan dan dihargai.

“Dengan bajet sebanyak RM200,000, kita harap dapat atasi masalah banjir walaupun bukan sepenuhnya. Sebelum ini banjir boleh jadi sebulan sekali,” katanya.

Penduduk, Razman Hamzah turut menyambut baik inisiatif itu kerana banjir telah banyak memusnahkan harta benda.

“Setiap kali banjir, barang macam perabot kayu habis musnah. Sekarang saya tukar pakai besi sebab tahun ini dah empat kali kena. Kalau beli yang kayu, sekali je pakai,” ujarnya.

Sementara itu, Juliana Boonadir berkata, mereka sekeluarga kini lebih bersedia menghadapi banjir, namun tetap berharap bencana itu tidak berulang.

“Harap benda ini tak berulang. Tahun ni bulan puasa kena banjir, raya pun banjir. Barang-barang yang kami sediakan semua musnah,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN