fb fb fb fb fb

Nasional FM, FAMA perkasa peranan sektor pertanian

Kerjasama strategik Nasional FM dan FAMA sempena FAMA Fest 2025.

KLANG, 26 Julai - Kerjasama strategik antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkasa sektor pertanian negara.

Ia direalisasi menerusi program Nasional FM 'Ambil Tahu' edisi khas FAMA Fest 2025 yang berlangsung di AEON Mall Bukit Tinggi, Klang.

Program bual bicara secara langsung itu antara siri jelajah bulanan 'Ambil Tahu' terbitan Nasional FM yang bertujuan mengupas isu semasa serta mengetengahkan topik penting berkaitan rakyat dan negara.

Edisi kali ini memfokuskan kepada potensi dan peranan sektor pertanian dalam pembangunan ekonomi negara.

Pengurus Nasional FM, Salbiah Mohd Sharif berkata, pemilihan tema dan lokasi program dibuat berdasarkan kepentingan Klang sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan pertanian yang strategik di negeri Selangor.

“Kerjasama bersama FAMA memberi ruang kepada kami untuk menyampaikan maklumat sahih dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

"Ini merupakan lokasi kelima tahun ini dan kami akan teruskan misi ini ke lima lokasi lain hingga hujung tahun,” ujar beliau.

Acara turut diserikan dengan kuiz interaktif, sesi ramah mesra bersama penyampai Nasional FM serta penyampaian hadiah kepada pengunjung yang hadir memeriahkan program.

Sementara itu, Pengarah FAMA Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Isa Hamzah berkata, FAMA Fest bukan sekadar platform jualan, malah satu inisiatif strategik untuk memperkukuh jaringan pasaran bagi usahawan tani tempatan.

“Kita bukan hanya bantu dari segi jualan tempatan, tetapi turut menyediakan peluang ke pasaran antarabangsa seperti Singapura.

"Program ini membuka peluang kepada lebih ramai usahawan baharu untuk menceburi bidang pertanian secara mampan,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran agensi-agensi strategik seperti Polis Diraja Malaysia yang turut membuka kaunter pembayaran saman dengan tawaran diskaun, membuktikan pendekatan holistik yang dibawa dalam penganjuran FAMA Fest 2025.

RTM terus komited menyampaikan maklumat tepat dan menyeluruh kepada rakyat menerusi pelbagai platform penyiaran selari dengan slogan 'Nasional FM Sentiasa di Hati – Next Level.'

KHAIRUL AMRI BIN YASIN