KANGAR, 26 Julai - Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatat peningkatan mendadak sejak dua tahun lalu sekali gus menunjukkan trend positif terhadap minat generasi muda dalam bidang kemahiran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lonjakan tersebut didorong ibu bapa dan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin terdedah dengan potensi kerjaya bidang berkenaan selain tawaran pendapatan yang tinggi.
"Mereka mendapati tawaran gaji bagi lepasan TVET adalah sangat menarik kerana tidak tertakluk kepada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan. Sebaliknya, pendapatan ditentukan berdasarkan tahap kemahiran.
Sebagai contoh, kursus kimpalan, terdapat pelajar yang ditawarkan gaji permulaan mencecah RM7,500 sebulan. Malah, permintaan pasaran kerja dalam bidang ini juga amat tinggi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini, hari ini.
Setakat 12 Julai lalu, permohonan bidang TVET meningkat daripada 25,000 pada tahun 2023 kepada 229,000 dengan 1,398 institusi seluruh negara.
Bidang ini turut mendapat permintaan tinggi terutama daripada syarikat pelaburan asing (FDI) yang melabur di Malaysia.