(Gambaran kawasan umum di laut Sulawesi dipaparkan pada skrin semasa sesi libat urus bersama media di Wisma Putra/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 22 Jun- Semua pihak diminta tidak mempolitikkan isu Triti Persempadanan Laut Wilayah antara Malaysia dan Indonesia yang termeterai pada 8 Jun lalu.
Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perkara tersebut tidak sepatutnya dijadikan sebagai modal parti politik bagi meraih sokongan menjelang pilihan raya akan datang.
Setiap pemimpin parti politik, perlu bersikap bertanggungjawab dalam perkara yang disampaikan kepada pengundi dan tidak harus memanipulasikan daripada isu yang tidak sahih.
(Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir)
"Oleh yang demikian kerajaan memandang serius yang berkaitan dengan kerahsiaan bahan-bahan maklumat-maklumat yang tidak boleh dan termasuk juga penularan maklumat yang palsu yang dikatakan daripada kementerian atau daripada menteri.
“Sekiranya timbul sebarang keraguan, pihak terlibat boleh merujuk perkara itu kepada Parlimen atau kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah memberi penjelasan di Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya semasa Sesi Libat Urus Bersama Media mengenai Triti Persempadanan Laut Wilayah Di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Persempadanan Laut Wilayah (Separa) di Laut Sulawesi Antara Malaysia dan Indonesia, di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Mohammad Zaki Mohd Ghazali.
Tuduhan yang menyatakan persetujuan persempadanan itu melibatkan keseluruhan Laut Sulawesi atau dirujuk sebagai Anbalat oleh Indonesia juga tidak benar.