fb fb fb fb fb

Tan Sri Acryl Sani bersara

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Lagu tema filem 'James Bond' : The Name's Bond James Bond bergema di Medan Perbarisan, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) apabila bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mempamer bakat beliau sebagai konduktor muzik.

Beliau memimpin Pancaragam PDRM dalam satu persembahan khas dalam Majlis Perbarisan Perpisahan & Paluan Berundur bersempena persaraan rasminya hari ini.

Acryl Sani tiba pada pukul 5.00 petang diiringi isteri, Puan Sri Ir Zaitun Mohd Isa.

Majlis dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; pegawai-pegawai tinggi dan kanan polis; pegawai-pegawai awam PDRM dan ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).

Upacara yang dimulakan dengan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan disusuli nyanyian lagu 'Negaraku' dan 'Sang Saka Biru'; diisi dengan Kawalan Kehormatan (Kawad Istiadat) oleh Panji-panji Utama PDRM, Panji-panji Unit dan Panji-panji Batalion, Lintas Hormat Pesawat oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dan persembahan khas oleh Pancaragam Pusat PDRM .

Turut dipersembahkan, sajak yang dideklamasikan khusus buat Acryl Sani sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas segala jasa bakti beliau sepanjang berkhidmat dalam PDRM.

Majlis selesai kira-kira 6.00 petang dengan Acryl Sani, isteri dan keluarga diarak keluar meninggalkan majlis menaiki kenderaan rasmi PDRM.


(Tan Sri Acryl Sani bersara)

Media Baharu