(Fahmi dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Digital Malaysia 2023)
KUALA LUMPUR, 22 Jun- Dasar dan undang-undang berkaitan aspek keselamatan data dan siber yang lebih baik sedang digubal, termasuk pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihaknya juga sedang meneliti rang undang-undang Omnibus bagi mewujudkan dasar digital negara yang lebih komprehensif, sekali gus memperkukuh sektor ekonomi digital negara.
Jelasnya, Malaysia perlu bekerjasama dengan negara lain di rantau Asia Tenggara untuk membangunkan protokol perkongsian data merangkumi aspek kedaulatan data dan fungsi mudah alihnya.
"Sekiranya di peringkat ASEAN kita dapat mengusahakan satu protokol perkongsian dan kedaulatan data yang membolehkan lebih banyak negara ASEAN mewujudkan undang-undang memudahkan dan membolehkan perkongsian data antara negara anggota.
"Ini bagi saya akan melengkapkan ekosistem ekonomi digital bukan hanya bagi Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara," kata Fahmi selepas merasmikan Persidangan Persatuan Digital Malaysia 2023 di sini.
Tambahnya, pengukuhan ekosistem ekonomi digital memungkinkan berlakunya dekad emas digital bagi negara sekaligus menjadikan Malaysia 'Harimau Digital Asia'.
(Dasar keselamatan data, siber ditambah baik)