(Fadhlina ditemu bual selepas merasmikan sambutan ulang tahun DBP yang ke-67)
KUALA LUMPUR, 22 Jun- Beberapa buku tulisan sasterawan negara akan diperkenalkan sebagai bacaan di sekolah bagi memperkasakan penguasaan bahasa Melayu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perbincangan akan diadakan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memilih tajuk yang bersesuaian.
"Kita akan bincang dengan DBP, peringkat KPM kita akan buat penyelarasan untuk lebih banyak lagi proses turun ke sekolah untuk memperkenalkan institusi yang memperkasakan bahasa dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak di sekolah," kata Fadhlina selepas merasmikan sambutan ulang tahun DBP yang ke-67 di sini.
Selain memperkasakan bahasa melalui penulisan sasterawan, KPM juga melakukan intervensi tertentu bagi mengatasi pelbagai cabaran pendidikan.
"Cabaran itu telah pun sambut dalam konteks intervensi-intervensi tertentu juga, tidak adil kita bercakap tentang krisis tanpa membuat satu komitmen berkaitan dengan intervensi dan juga bercakap bahawa itulah cabaran yang sebenarnya kita sedang hadapi dan kita kena kukuhkan," tambahnya.
(Fadhlina berkata perbincangan akan diadakan dengan DBP bagi memilih tajuk yang bersesuaian)