KUALA LUMPUR, 7 November – Tindakan kerajaan menawarkan diskaun 50 peratus bagi mereka yang mempunyai tunggakan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disifatkan sebagai strategi pragmatik.
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Law Teik Hua berpandangan meskipun inisiatif itu diyakini dapat mengurangkan jumlah tunggakan saman yang kini mencecah RM5.5 juta, aspek penguatkuasaan tetap menjadi faktor utama dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang.
“Ia strategi pragmatik. Bagi tempoh jangka panjang, ia mungkin berkesan mengurangkan jumlah tunggakan serta menggalakkan pematuhan segera terhadap undang-undang jalan raya. Namun, kitaran seperti tertunggak saman, tawaran diskaun, bayar saman, dan mengulangi kesilapan perlu dihentikan.
“Risiko terbesar daripada kitaran ini ialah pengguna tidak lagi takut disaman kerana menjangkakan akan ada tawaran diskaun pada masa hadapan. Ini boleh menjejaskan tahap pematuhan undang-undang. Kesan sebenar terhadap disiplin jalan raya hanya akan tercapai dengan penguatkuasaan yang konsisten,” katanya ketika dihubungi RTM.
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Law Teik Hua/RTM
Beliau turut berpandangan, tindakan saman semata-mata tidak memadai untuk mendisiplinkan pengguna dalam jangka masa panjang.
Justeru, kerajaan disaran mempertimbangkan langkah-langkah tambahan bagi memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.
“Sudah tiba masanya kita melihat pendekatan yang lebih menyeluruh. Pertama, kerajaan boleh mempertimbang modul keselamatan jalan raya wajib yang diintegrasikan dalam proses pembaharuan lesen, termasuk video kes kemalangan sebenar.
“Kedua, ganjaran kepada pemandu berdisiplin. Mereka yang tiada rekod kesalahan dalam tempoh tertentu boleh diberikan diskaun kecil cukai jalan atau insurans sebagai insentif positif. Ketiga, reka bentuk persekitaran jalan raya juga penting, bam yang lebih efektif, bulatan dan lampu isyarat dengan had laju automatik boleh digabungkan dengan mekanisme saman untuk mendorong pematuhan secara sukarela, bukan kerana takut disaman,” jelas beliau lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Khamis memaklumkan diskaun 50 peratus saman JPJ akan ditawarkan mulai 1 November hingga 31 Disember 2025.
Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2026, mereka yang gagal melunaskan saman tertunggak berisiko disenarai hitam, sekali gus tidak dapat memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta cukai jalan kenderaan masing-masing.