fb fb fb fb fb

Belia Malaysia terima 2,500 kuota tambahan jalani latihan TVET di China

Foto RTM

SHANGHAI, 7 November - Sebanyak 2,500 penempatan baharu diperoleh Malaysia bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China pada 2026.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada tahun lalu belia Malaysia ditawarkan 5,125 tempat untuk menjalani latihan TVET di institusi dan industri China.

"Untuk tahun hadapan penambahan ini dibuat setelah kejayaan dalam program terdahulu, dan kursus-kursus ini mengambil masa jangka pendek dan jangka sederhana di antara 1 hingga enam bulan," katanya di sini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan kadar kebolehpasaran graduan TVET yang menjalani latihan di China amat baik dan mencapai 100 peratus. Pada masa yang sama, kerajaan juga sedang berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

"Dan saya berpandangan selewat-lewatnya dalam tempoh 15 tahun, insyaallah kebergantungan ini dapat diminimumkan."

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Forum Kerjasama Industri-TVET Antarabangsa Malaysia China ke-2 dan Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China ke-4.

Ia merupakan anjuran bersama Malaysia-China Institute (MCI), Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) dan TANG International Education Group, China.

Selain itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut merasmikan Institut Guangqi sebagai hab latihan bersama Malaysia–China yang menumpukan kepada bidang semikonduktor dan elektronik lanjutan. Melalui institut berkenaan, seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan pekerja industri akan menjalani latihan bernilai RM10 juta selama satu hingga enam bulan.

EZA YUSMAWATI YAACOP